Sejadah, kegagalan ikuti norma baharu Covid-19 ?

SATU lagi kelonggaran diberi untuk beribadah di masjid dan surau. Penggunaan sejadah tidak lagi diwajibkan. Sebelum ini tiga syarat utama dikenakan sebelum ke masjid atau surau – berwuduk di rumah, bawa sejadah dan pakai pelitup muka.

Di peringkat awal pihak masjid dan surau bertegas, tiada kompromi, begitu juga jemaah amat patuh asalkan mereka dapat solat berjemaah. Namun lama kelamaan ia beransur ‘longgar’ tanpa menanti dilonggarkan atas arahan kerajaan.

Pada masa yang sama mulai 1 September, warga asing dibenarkan untuk menunaikan ibadah di masjid dan surau yang sebelum ini terhad  kepada pegawai diplomat dan duta sahaja. Ya mereka juga berhak.

Bagaimanapun Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, jemaah masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. SOP itu mungkin berwuduk di rumah, memakai pelitup muka dan mendaftar nama.

Apa pun keputusan kerajaan, diharapkan tidak menjejaskan usaha mengekang rantaian Covid-19. Ketika wabak ini belum pasti bila pengakhirannya dan vaksin masih di peringkat ujian, pelbagai kelonggaran sudah diberi.

Harus diingat, setiap peraturan atau norma baharu itu iaitu wuduk di rumah, bawa sejadah dan guna pelitup muka ada tujuan dan matlamatnya bagi memutuskan rantaian Covid-19. Masyarakat cuba dididik dengan norma baharu.

Diharapkan kelonggaran yang semakin ‘longgar’ itu tidak memudaratkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini masih berlangsung.

Menurut Ismail Sabri, kehadiran jemaah tanpa sejadah dibuat selepas menerima rayuan orang ramai menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Al Bakri.

Khabarnya ada yang terlupa membawa sejadah dan terpaksa pulang mengambilnya dan ada pula yang memang tidak membawa sejadah kerana kebetulan mereka dari luar dan singgah solat.

Seribu satu alasan boleh diberi bagi ‘membebaskan’ diri. Memang sukar untuk membentuk individu mengamalkan norma baharu seperti membiasakan diri berwuduk di rumah, memakai pelitup muka dan membawa sejadah.

Sukarkah membawa sejadah? Memang tidak ada sejadah? Paling ringkas sejadah kecil dan nipis yang boleh dimasukkan dalam poket, itu bagi yang ke masjid dan surau berjalan kaki. Tetapi bagaimana yang ada kenderaan?

Ketika norma baharu kehidupan ini, biasakanlah di dalam kereta atau ‘bakul’ motosikal sekurang-kurangnya ada sejadah. Jika sudah tahu kita akan solat setiap kali masuk waktu, apa salahnya sediakan sejadah di dalam kereta, motosikal, beca, bas/van sekolah, atau lori?

Biasakan diri dengan membawanya sama seperti kebanyakan orang tidak dapat memisahkan diri daripada membawa telefon bimbit ke sana ke sini ke sana ke sini.

Adakah selepas ini, akan dilonggarkan pula soal berwuduk di rumah? Sepatutnya wuduk ini lebih menjadi keutamaan kerana kebanyakan orang ketika di luar tidak berwuduk. Namun di kebanyakan masjid dan surau ada kelonggaran berwuduk walaupun ruang wuduk dihadkan, tidak semua dibuka.

Bagi yang dari rumah,  memang digalakkan  berwuduk di rumah. Dalam hal ini terdapat beberapa hadis dengan lafaz yang berbeza yang mengisyaratkan bahawa berwuduk di rumah lebih utama berbanding di masjid.

Rasulullah SAW pernah bersabda : Barangsiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan ke masjid untuk mendirikan solat fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT, maka langkahan pertama menghapuskan dosanya, dan langkahan kedua mengangkat darjatnya. [Riwayat Muslim (666)]

Bagi pelitup muka, seperti sejadah, ia juga satu cara hidup baharu, lebih merupakan keperluan setiap kali keluar rumah. Sama juga seperti membawa telefon bimbit, jadikan pemakaian pelitup muka ini satu keperluan atau kemestian yang tidak boleh dikompromi.

Bagaimanapun bagi sesetengah masjid dan surau, pelitup muka disediakan bagi yang memerlukan sama ada terlupa membawa atau memang tidak ada. Mungkin disediakan secara percuma. Ada juga masjid dan surau memohon RM1 dimasukkan ke dalam tabung disediakan sebagai derma, bukan dijual.

Bagi yang berkemampuan, satu lagi peluang untuk menyumbang pelitup muka percuma di masjid dan surau. Semoga sumbangan ini sebagai bekalan akhirat di samping menggalakkan orang ramai mengamalkan norma baharu kehidupan.

Bagi yang berkemampuan teruskan berwuduk di rumah, bawa sejadah dan pakai pelitup muka.

Related posts

Leave a Comment