Dua kluster sambut Aidilfitri di Sabah

KOTA KINABALU 27 Mei – Aktiviti kunjung mengunjung dan merentas negeri untuk berhari raya mencetuskan dua lagi kluster baharu – Kluster Sungai Pukul di daerah Tawau dan Kluster Kauran-Durok di daerah Keningau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata Kluster Sungai Pukul di Tawau membabitkan jangkitan semasa aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri.

Dalam kenyataan media malam tadi, beliau berkata kes indeks adalah suri rumah berusia 63 tahun disahkan positif Covid-19 di Hospital Tawau pada 22 Mei lalu selepas mengalami gejala sejak 18 Mei lalu.

Saringan kontak rapat mendapati tujuh kes positif dalam kalangan keluarga kes indeks pada 25 Mei lalu sebelum 10 lagi kes dikesan menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 18 kes.

Mengenai Kluster Kauran-Durok di Keningau, Masidi berkata, kes indeks adalah wanita berusia 30 tahun yang pulang bercuti ke Sabah untuk menyambut Aidilfitri pada 12 hingga 22 Mei.

Susulan itu, saringan bersasar terhadap 31 kontak rapat mendapati 12 daripadanya positif Covid-19 iaitu empat kes dari Kampung Kauran dan lapan kes dari Kampung Durok Baru pada 25 Mei lalu.

Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan semasa sambutan Aidilfitri di antara 19 Mei hingga 21 Mei lalu. Pengesanan kontak rapat juga sedang dijalankan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

Related posts

Leave a Comment