AZ kembali kepada MySejahtera

PUTRAJAYA 27 Mei – Kerajaan memutuskan untuk kembali memasukkan AstraZeneca dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sehubungan itu, kaedah pemberian vaksin AstraZeneca tidak lagi diteruskan secara sukarela, sebaliknya ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh akan datang.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata masyarakat kini sudah tidak lagi meragui vaksin AstraZeneca dan ia diterima baik dalam kalangan rakyat di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya sedang melihat kemudahan untuk memilih jenis vaksin Covid-19 dikehendaki yang mungkin diberikan kepada orang ramai melalui MySejahtera yang akan dikemaskini dalam tempoh terdekat.

“Kalau kita melihat kepada keputusan kaedah sukarela ini, ia dibuat apabila ada keengganan dalam kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca.

“Ia disebabkan beberapa berita mengaitkan vaksin ini dengan kes pembekuan darah. Maka, kaedah sukarela dibuat berdasarkan keputusan ‘inform decision’ oleh individu terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovas memohon maaf susulan masalah teknikal ketika permohonan pusingan kedua janji temu vaksin AstraZeneca, semalam.

Beliau mengakui pengalaman dilalui pengguna itu menyebabkan mereka kecewa akibat kelemahan sistem memproses permintaan amat tinggi dengan cekap.

“Saya sebagai menteri bertanggungjawab terhadap PICK memohon maaf kepada semua pihak yang mengalami masalah melayari laman sesawang untuk membuat tempahan vaksinasi AstraZeneca pusingan kedua semalam.

“Ia sepatutnya berjalan dengan lebih baik. Sebagai contoh, ada tarikh dipaparkan di skrin menunjukkan warna kelabu dan bukan lagi hijau, menyebabkan pengguna menekan tanpa henti hanya untuk diberitahu slot tempahan telah penuh,” katanya.

Related posts

Leave a Comment