870 petugas kesihatan dijangkiti

PUTRAJAYA 27 Mei – Seramai 870 petugas kesihatan yang menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dikesan dijangkiti wabak Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata, 219 petugas dijangkiti selepas mendapat satu dos vaksin, manakala 651 lagi dijangkiti selepas menerima dos kedua manakala 449 petugas kesihatan yang tidak menerima vaksin, telah dijangkiti Covid-19.

“Kebanyakan mereka tidak menerima simptom yang teruk kerana mereka telah divaksinasi dan telah mendapatkan perlindungan, sama ada daripada dos pertama atau kedua,” katanya.

Dalam sidang media maya hari ini, beliau berkata, kes Covid-19 dalam kategori empat dan lima meningkat kepada 15 peratus dalam gelombang ketiga, berbanding hanya lima peratus sebelumnya.

Beliau berkata kes Covid-19 dalam gelombang ketiga ini, lebih banyak menjangkiti golongan berusia 20 hingga 40 tahun, dengan rata-ratanya adalah kes sporadik dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai untuk lebih berwaspada, kerana ada yang tidak bergejala tetapi terus dikesan di tahap ini.

“Mereka yang berada di tahap empat dan lima ini memerlukan rawatan oksigen dan ada yang diventilasi,” katanya 

Sementara itu  KKM menyambut baik langkah IHH Healthcare Malaysia, yang telah meningkatkan bilangan katil yang dikhususkan untuk Covid-19, meliputi 16 hospital bawah rangkaian syarikat berkenaan di seluruh negara.

Sehingga kini, terdapat 110 hospital swasta yang bersetuju memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19, dengan menyediakan 1,173 katil wad dan 119 katil ICU, khusus bagi rawatan pesakit meliputi kategori satu hingga lima.

Related posts

Leave a Comment