Sekatan keluar masuk Sabah – Labuan

KOTA KINABALU 26 Mei -Kerajaan negeri hari ini mengumumkan sekatan pergerakan keluar masuk antara Sabah dan Labuan berkuat kuasa serta-merta berikutan kewujudan Covid-19 varian India yang dikesan di Wilayah Persekutuan itu.

Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata pengecualian yang diberikan melibatkan pergerakan perkhidmatan dan barangan perlu, keselamatan dan kesihatan atau perubatan serta telah mendapat kebenaran khas.

“Pengangkutan feri awam juga hanya bagi keperluan perkhidmatan perlu dan barangan perlu sahaja. Permohonan kebenaran (pergerakan Sabah dan Labuan) bagi pasangan jarak jauh juga tidak akan dipertimbang bermula 28 Mei hingga 7 Jun,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Semalam, beliau mengumumkan semua individu yang memasuki Sabah perlu menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dalam tempoh lima hari sebelum melakukan perjalanan.

Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenar memasuki Sabah dan perlu menjalani kuarantin 14 hari.

Beliau berkata faktor utama peningkatan kes Covid-19 di Sabah ialah kegagalan orang awam dan pemilik premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka.

“Sehubungan itu, pemilik dikehendaki mempamerkan SOP Covid-19 di setiap premis perniagaan masing-masing.

“Mana-Mana premis yang mempunyai peralatan hebahan perlu memberi peringatan kepada pelanggan mereka untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hebahan berkala ini dilakukan dalam setiap satu jam,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan juga akan membekalkan poster ke setiap premis untuk dipamerkan yang mengandungi nombor telefon aduan dan boleh dihubungi orang awam jika berlaku ketidakpatuhan SOP.

“Pihak penguat kuasa juga akan sentiasa membuat rondaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya,” kata beliau.

Mengulas perkembangan COVID-19, Masidi berkata Sabah hari ini merekodkan 229 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif 61,057 kes manakala kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 81 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah ialah 58,968. 

Related posts

Leave a Comment