Semakin banyak lokaliti PKPD

KUALA LUMPUR 26 Mei – Sebanyak 19 kluster dicatatkan daripada keseluruhan 50 kluster akibat rentas negeri sejak awal tahun ini, melibatkan 6,291 kes, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, peningkatan kluster itu dilaporkan berlaku sepanjang April hingga Mei.

“Dari segi bilangan kluster, setakat 20 Mei lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 1,966 keseluruhan kluster sejak pandemik ini melanda negara kita.

“Daripada jumlah itu, terdapat 528 kluster aktif manakala 1,438 lagi kluster diisytiharkan tamat,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail Sabri juga berkata beberapa kawasan termasuk mukim, pangsapuri, taman perumahan serta perkampungan di Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Sabah dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 28 Mei hingga 10 Jun.

Beliau berkata PKPD di Perak melibatkan Mukim Parit Buntar, Kerian yang merekodkan 82 kes positif Covid-19 setakat ini dengan kadar positiviti 13.1 peratus.

Di Kuala Lumpur, ia melibatkan Pangsapuri Permai (semua blok) dan Pangsapuri Sri Penara (Blok C & D), Cheras berikutan berlaku peningkatan kes ketara di dua kawasan itu.

Sebanyak 78 kes positif dikesan hasil 101 ujian saringan di Pangsapuri Permai. Di Pangsapuri Sri Penara pula, terdapat 111 kes positif selepas 123 penghuni disaring.

PKPD di Pahang melibatkan dua lokaliti di Raub iaitu Taman Dato’ Tengku Paris dan Felda Tersang 1, 2 & 3 dalam Mukim Batu Talam serta dua mukim di Temerloh iaitu Mukim Perak dan Mukim Bangau.

Di Sabah,  PKPD melibatkan empat perkampungan di daerah Kunak (Kampung Kabog, Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat dan Kampung Kunak 3), tiga lokaliti di Tawau (Kampung Sungai Pukul di Pulau Sebatik, Taman Desa Ranggu dan Taman Sawit Balung) serta sebuah kampung di Kota Belud iaitu Kampung Pirasan Ulu.

PKPD di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Besut di Terengganu yang dijadual tamat esok dilanjutkan sehingga 4 Jun berikutan masih berlaku penularan kes dalam kalangan penduduk dan kes baharu direkodkan dengan 42 individu disahkan positif Covid-19.

Kerajaan turut memutuskan untuk menamatkan PKPD di Kuarters Pekerja Lombong Sungai Batu, Batu Talam, Raub di Pahang esok seperti yang dijadualkan.

Sehingga kini, KKM telah melakukan 51 ujian saringan dan 21 daripadanya disahkan positif Covid-19. KKM juga mengesahkan trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Sementara itu, seramai 628 individu ditahan kerana ingkar SOP semalam dengan 609 orang dikompaun manakala 19 lagi direman.

Katanya antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (162), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (158), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (80), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (61), tiada penjarakan fizikal (47) dan lain-lain (120).

Related posts

Leave a Comment