Khidmat Tajuddin Rahman ditamatkan

PUTRAJAYA 26 Mei – Setelah sidang medianya mengenai nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) menimbulkan kontroversi, akhirnya, Menteri Kewangan (Diperbadankan) menamatkan perkhidmatan Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd berkuat kuasa serta merta.

Surat persetujuan penamatan perkhidmatan Ahli Parlimen Pasar Salak itu dikeluarkan bertarikh 26 Mei 2021 yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Seri (Tajuddin) sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd ditamatkan berkuat kuasa serta merta.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah Datuk Seri berikan kepada Prasarana sepanjang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat,” demikian menurut surat yang ditandatangani Tengku Zafrul itu.

Tajuddin dilantik Pengerusi Kumpulan berkuatkuasa 11 Mei 2020 bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.

Berasal dari Kampung Gajah, Perak, Tajuddin adalah graduan Universiti Malaya dengan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada 1972 dan memulakan karier dalam perkhidmatan awam pada tahun sama.

Selain itu, beliau juga berpengalaman luas dalam sektor perniagaan dan korporat sebelum menceburi bidang politik.

Beliau juga sebelum ini menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bermula 2013 hingga 2018.

Keputusan dibuat oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu dipercayai berikutan terdapat desakan supaya Tajuddin meletakkan jawatan susulan kegagalan dan tiada rasa sensitif semasa mengendalikan sidang akhbar kejadian pertembungan dua tren LRT baru-baru ini.

Related posts

Leave a Comment