Jumlah kes, kematian tertinggi

PUTRAJAYA 26 Mei – Tidak sampai seminggu, Malaysia sekali lagi merekodkan kes dan kematian tertinggi hari ini apabila 7,478 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan 63 kematian dalam tempoh 24 jam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini meningkat kepada 533,367 dan 2,432 kematian.

Untuk rekod, pada 20 Mei, Kementerian Kesihatan mengumumkan kes harian tertinggi iaitu 6,806 diikuti 23 Mei dengan merekodkan 6,976 kes dan semalam, 25 Mei merekodkan 7,289 kes.

Bagi kematian pula, jika diambil kira kes tertinggi mulai 17 Mei, ia merekodkan 45 kes diikuti 47 (18 Mei), 59 (20 Mei), 61 (24 Mei), 60 (25 Mei) dan hari ini 63 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat 7,473 kes tempatan yang melibatkan 6,913 warganegara (92.5%) dan 560 bukan warganegara (7.5%) manakala lima kes import pula melibatkan bukan warganegara.

Kes sembuh pula merekodkan 4,665 dan jumlah kumulatif mencapai 464,727 atau 87.1 peratus manakala kes aktif 66,208.

Ketika ini terdapat 756 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 377 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 63 kes kematian hari ini melibatkan 24 kes di Selangor, sembilan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing lapan kes di Johor dan Kedah, lima kes di Perak, tiga kes di Melaka, masing-masing dua kes di Sarawak dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Sabah dan Pahang.

Related posts

Leave a Comment