PKPD mukim dan lokaliti

KUALA LUMPUR 24 Mei – Susulan peningkatan mendadak kes Covid-19, kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim dan lokaliti melibatkan Labuan, Pahang dan Sabah

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di Labuan melibatkan lima zon kecil berkuat kuasa 26 Mei hingga 24 Jun.

Berdasarkan kepada situasi semasa peningkatan mendadak kes Covid-19 di Labuan adalah susulan daripada peningkatan kes di semua negeri di Malaysia dan kesemua lima zon kecil kini berstatus jingga dan merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia  (KKM) turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan di Labuan pada 23 Mei adalah 2.55 iaitu melebihi 2.00 yang berkemungkinan akan berlaku jangkitan dengan skala yang lebih besar.

PKPD di Pahang pula melibatkan tiga mukim iaitu mukim Kuala Lipis, mukim Penjom dan mukim Budu di daerah Lipis berkuat kuasa 26 Mei hingga 8 Jun.

Sehingga kini, mukim Budu mencatatkan 51 kes positif, mukim Kuala Lipis (24) dan mukim Penjom (57) menjadikan keseluruhan kes dikesan daripada ketiga-tiga mukim ini adalah sebanyak 132 kes dalam tempoh 24 hari dari 1 Mei hingga 24 Mei daripada keseluruhan 938 orang yang disaring.

Bagi PKPD di Sabah, ia melibatkan dua lokaliti di Putatan iaitu Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau, Ladang Felda Global Ventures (FGV) Kalabakan Selatan di Kalabakan dan Kampung Sungai Imam di Tawau mulai 26 Mei hingga 8 Jun depan.

KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh satu minggu di Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau apabila 21 kes positif direkodkan hasil daripada 282 ujian saringan yang dilaksanakan.

Bagi Ladang FGV Kalabakan Selatan, sebanyak sembilan kes positif direkodkan hasil ujian saringan ke atas 47 orang di lokaliti tersebut manakala di Kampung Sungai Imam pula sebanyak 17 kes positif direkodkan hasil daripada 57 ujian saringan.

PKPD di Felda Kahang Timur, Kluang, Johor yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan hingga 8 Jun depan.

Sehingga kini, KKM telah melakukan 1,092 ujian saringan dan 140 individu disahkan positif manakala 75 sampel saringan masih menunggu keputusan. KKM juga mengesahkan penularan masih berlaku di lokaliti tersebut dan kes baharu juga direkodkan.

Sementara itu, PKPD di Felda Umas, Kalabakan di Sabah dan PKPD di Kampung Bako Hilir, Kuching di Sarawak ditamatkan seperti yang dijadualkan esok.

Related posts

Leave a Comment