Kematian di Thailand kini 806

BANGKOK 24 Mei – Thailand hari ini merekodkan 2,713 kes baharu Covid-19 dengan Bangkok mendahului wilayah lain mencatatkan kes tertinggi iaitu 951 kes.

Daripada jumlah itu, 2,664 adalah kes tempatan – 2,507 melibatkan orang awam, 206 di penjara – manakala 49 lagi kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan 132,213 kes.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), sebanyak 30 kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia melepasi 800 iaitu 806 orang.

Berdasarkan perangkaan itu, jumlah kes berkurangan berbanding 3,382 semalam manakala kematian berganda berbanding 17 yang meninggal dunia semalam.

Jumlah kes sembuh pula meningkat kepada 86,100 apabila 1,565 lagi dilaporkan sembuh manakala kes yang masih mendapatkan rawatan adalah 45,307 orang.

Sebelas kematian direkodkan di Bangkok, tiga di Nakhon Ratchasima dan tiga lagi di Ratchaburi.

Samut Sakhon dan Samut Prakan masing-masing merekodkan dua kematian dan satu kematian masing-masing di Pathum Thani, Sakhon Nakhon, Tak, Ayutthaya, Chiang Rai, Surin, Chaiyaphum, Nonthaburi dan Chai Nat.

Sementara itu, warga Thai yang pulang dari Kemboja merekodkan 41 kes jangkitan, diikuti enam dari India dan masing-masing satu dari Emiriyah Arab Bersatu dan Ethiopia.

Related posts

Leave a Comment