KOTA BHARU 26 Jan. – Hanya ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN) dijemput menghadiri mesyuarat luar biasa Khamis ini bagi melantik pengerusi baharu, kata Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, jemputan dihadkan kepada individu yang ketika ini adalah ahli MTPN, selaras dengan peruntukan sedia ada.
Justeru itu, katanya, Muhyiddin Yassin yang mengumumkan meletak jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan.
“Untuk mesyuarat ini, jemputan hanya diberikan kepada Ahli Majlis Tertinggi. Ia sebahagian daripada penambahbaikan yang akan dibuat kemudian terhadap perlembagaan PN,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan bahawa keanggotaan Majlis Tertinggi PN adalah berdasarkan pelantikan yang dibuat sebelum ini.
“Di bawah perlembagaan PN, keanggotaan Majlis Tertinggi perlu diputuskan dan dilantik melalui mesyuarat Majlis Tertinggi, dan ia bukan secara automatik untuk seseorang presiden parti menjadi ahli kecuali pelantikan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini memegang jawatan Pengerusi PN, namun melepaskan jawatan itu berkuat kuasa 1 Januari lalu.
“Oleh itu, mesyuarat perlu melantik beliau terlebih dahulu sebagai ahli Majlis Tertinggi sebelum sebarang pelantikan lain dibuat. Ini bukan isu besar kerana ahli Majlis Tertinggi boleh melantik beliau selaras dengan kedudukannya sebagai Presiden Bersatu,” katanya.
Tuan Ibrahim menambah, mesyuarat luar biasa itu diadakan khusus bagi membincangkan pelantikan pengerusi PN yang baharu serta perkara berkaitan organisasi gabungan itu.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, berkata keputusan untuk tidak menamakan Muhyiddin dalam senarai hadir ke mesyuarat luar biasa MTPN susulan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Katanya, atas sebab itu, hanya ahli MTPN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, Setiausaha Agung PN, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak disenarai sebagai yang akan hadir dalam mesyuarat itu.
“Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Muhyiddin) ini sudah berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu).
Tapi tak apalah, walaupun demikian, (pemakluman peletakan jawatan itu) perlu dibawa kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk diluluskan juga,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.
Satu surat jemputan mesyuarat luar biasa PN Khamis ini yang dikongsi gabungan itu semalam mengundang kritikan pemimpin Bersatu yang mempersoalkan mengapa nama Muhyiddin tak disenarai sebagai mereka yang perlu hadir.
Menurut beliau, mesyuarat luar biasa PN kali ini mengetengahkan tiga agenda utama termasuk memilih pengerusi mesyuarat dari kalangan timbalan-timbalan pengerusi PN.
“Agenda kedua mengesahkan peletakan jawatan pengerusi PN seperti mana kehendak fasal 8.3 (1)(b).
“Ketiga, apabila atau sekiranya Majlis Tertinggi PN meluluskan peletakan jawatan pengurusi PN, maka selepas itu baru diadakan pelantikan pengerusi PN yang baharu. Ia tertakluk kepada agenda dua di atas.
“Andai kata Majlis Tertinggi PN tidak meluluskan peletakan jawatan pengerusi PN. Maka secara sah, dia masih kekal sebagai pengerusi dan tidak perlulah agenda melantik pengerusi PN yang baharu,” katanya
.
Seramai 16 anggota Majlis Tertinggi PN dijadual berkumpul di ibu pejabat Parti Gerakan bagi menghadiri satu mesyuarat luar biasa PN.
Nnnn
