Kematian meningkat di India

INDIA melaporkan 259,551 kes jangkitan baharu Covid-19 sepanjang 24 jam lalu pada Jumaat, 21 Mei, merosot sekitar 16,000 berbanding 276,110 kes semalam..

Bagaimanapun jumlah kematian meningkat sebanyak 4,209 menjadikan 291,331 kematian manakala jumlah keseluruhan jangkitan koronavirus di negara itu kini berjumlah 26.03 juta.

Negeri di seluruh India semalam mengarahkan tindakan kecemasan bagi mengatasi peningkatan jangkitan ‘kulat hitam’ yang boleh membawa maut dalam kalangan pesakit Covid-19.

Dua negeri, Gujarat dan Telangana mengisytiharkan jangkitan kulat dikenali sebagai mucormycosis itu sebagai wabak, sementara New Delhi dan beberapa bandar raya utama sudah membuka wad khusus bagi merawat ribuan pesakit yang dijangkiti.

Kulat hitam yang berpunca daripada organisme dipanggil mucormycetes, boleh memasuki tubuh pesakit melalui pernafasan dan kecederaan di kulit.

Jangkitan itu menyebabkan kematian separuh pesakitnya sejak beberapa hari lalu.

Dalam beberapa kes, mata dan rahang atas pesakit terpaksa dibuang oleh pakar bedah untuk menyelamatkan nyawa mereka.

India sebelum ini cuma berdepan kurang daripada 20 kes setahun berkaitan jangkitan kulat hitam, namun jangkitan itu kini menjadi ancaman baharu susulan gelombang Covid-19 yang mengakibatkan 120,000 kematian dalam tempoh enam minggu.

Menurut beberapa doktor, jangkitan itu berpunca daripada penggunaan steroid yang tinggi bagi merawat Covid-19 dan membantu menyebarkan kulat hitam.

Related posts

Leave a Comment