Hanya 12 jemaah di masjid NS

SEREMBAN 20 Mei – Hanya 12 jemaah membabitkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dibenarkan menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat di semua masjid di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 7 Jun ini.

Bagi surau pula hanya tiga jemaah dibenarkan iaitu melibatkan imam, bilal dan siak.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, keputusan itu berikutan kes Covid-19 yang berlaku di masjid dan surau semakin meningkat di negeri ini.

“Ia bukan kluster masjid dan surau namun ada jemaah yang hadir dalam keadaan yang tidak sihat menyebabkan rakan lain terlibat. Pihak kerajaan negeri terpaksa membuat keputusan ini demi kebaikan semua, “ katanya.

Kerajaan negeri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir termasuk dimaklumkan kepada Datuk Undang Yang Empat berhubung SOP jumlah jemaah yang dibenarkan itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Bantuan Peduli Palestin Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Jelasnya, keputusan itu juga diambil bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin meningkat termasuk jumlah penggunaan katil di dua buah hospital di negeri ini.

Related posts

Leave a Comment