Tolak ‘lockdown’ jika diberi pilihan

PUTRAJAYA 19 Mei –  Selangor ‘menolak lockdown’ jika diberi pilihan dalam menghadapi gelombang pandemik Covid-19 yang jumlahnya di selangor semakin meningkat dan hari ini mencecah 2,251 kes.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembanguan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri bagaimanapun akan patuh jika diarahkan oleh kerajaan Pusat.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengesyorkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor berikutan peningkatan kes.

Dr Siti Mariah berkata ‘lockdown’  akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Pihaknya berpendapat PKP penuh sahaja tidak dapat mengelak jangkitan Covid-19 sepenuhnya, jika punca perebakan itu tidak dikawal dengan baik terutamanya yang berpunca dari kawasan industri hingga menjangkiti komuniti.

“Kita tak mahu orang tidak boleh keluar bekerja. Jadi untuk membolehkan mereka keluar kerja apa langkah yang patut kita buat, misalnya kita tumpukan pada kawasan yang mempunyai banyak kluster,” katanya.

Selain itu, ujian saringan Covid-19 dan pemberian vaksin besar-besaran perlu dilakukan di Selangor, untuk memastikan PKP tersebut berkesan..

Setakat kelmarin seramai 3.3 peratus penduduk Selangor telah divaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Dalam perkembangan lain Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri menerusi Selgate Corporation juga telah menempah 2.5 juta dos vaksin, salah satu daripada tiga pembekal vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca, yang dijangka tiba pada Jun ini.

Setakat ini, sebanyak 3,500 syarikat di negeri ini telah menyatakan minat untuk membeli vaksin diperoleh kerajaan negeri melalui program SElangkah VAX, program vaksinasinasi di bawah SElangkah dan akan memberi manfaat lebih 1 juta pekerja bagi sektor perindustrian.

Mengulas berhubung program Saringan Komuniti SELangkah yang telah dijalankan di 10 buah Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 8 Mei lalu, Dr Siti Mariah berkata seramai 643 individu positif daripada lebih 11,000 yang hadir pada program tersebut.

Related posts

Leave a Comment