Sebar berita tidak benar

NILAI 17 Mei – Pemilik akaun Twitter ‘No War But Class War’ yang menciap status mengenai berita palsu kompaun raya di Nilai Impian, pada 13 Mei lalu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai semalam untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata keterangan suspek yang berusia 42 tahun itu telah diambil untuk tindakan lanjut siasatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang menyebabkan kegentaran awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (no.2) 2021 kerana menyebarkan berita tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

Suspek yang merupakan seorang pengurus syarikat penerbitan buku di Bandar Baru Bangi, kini dilepaskan dengan ikat jamin polis.

Pada Khamis lalu, tular gambar di Twitter yang memaparkan pemilik akaun ‘No War But Class War’ menaik status ‘Area Rumah Aku Nilai Impian. Tuan Rumah RM25K, Tetamu RM5K.

Polis kemudiannya menafikan penularan gambar yang tular di media sosial itu berhubung pelaksanaan operasi pihak polis yang mengenakan kompaun sebanyak RM30,000 kepada orang awam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021.

Gambar tersebut sebaliknya merupakan gambar pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya pertama Aidilfitri di kawasan perumahan di Nilai Impian, Nilai.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan di laman sosial bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Related posts

Leave a Comment