Pembelajaran di rumah 19-28 Mei

SINGAPURA 16 Mei – Semua sekolah rendah dan menengah, maktab rendah, Institut Millennia dan sekolah pendidikan khas akan beralih sepenuhnya kepada pembelajaran di rumah (HBL) mulai 19 Mei sehingga akhir penggal persekolahan 28 Mei.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing yang mengumumkan demikian mengakui peralihan sepenuhnya kepada HBL mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah ibu bapa.

“Namun, kami mahu meyakinkan semua ibu bapa dan pelajar bahawa MOE (Kementerian Pendidikan) akan terus menghulurkan bantuan dan sokongan penuh kepada sekolah, guru dan ibu bapa yang memerlukan bantuan tambahan bagi membuat penyesuaian ini,” kata beliau.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa pelajar sekolah rendah diuji positif Covid-19 sejak beberapa hari kebelakangan ini dengan kebanyakan jangkitan itu dikaitkan dengan pusat-pusat tuisyen.

Chan menarik perhatian bahawa beberapa mutasi baru koronavirus itu jauh ‘lebih ganas’ dan menyerang kanak-kanak yang lebih kecil.

Mengenai prasekolah dan pusat jagaan pelajar, ia akan terus dibuka untuk menyokong keluarga yang memerlukan perkhidmatan itu.

Bagaimanapun Chan menggalakkan ibu bapa supaya membiarkan anak mereka duduk di rumah seberapa boleh sesuai dengan aturan bekerja dari rumah (WFH)  sekarang.

Institut pengajian tinggi (IHL) akan mengurangkan kehadiran di kampus dengan menukar lebih banyak kuliah ke pembelajaran online seberapa mungkin kecuali bagi sesi-sesi bertemu muka yang penting seperti sesi makmal, praktikal dan projek akhir tahun.

Beliau juga menyarankan semua kelas tuisyen dan pengayaan berasaskan di pusat seharusnya mengalihkan kegiatan secara online sehingga akhir Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Related posts

Leave a Comment