SEPANG 10 Mei – Pemilihan Keadilan 2025 bukan sekadar soal pengisian jawatan, tetapi peluang untuk memperkukuh asas perjuangan parti, menyemarakkan semula semangat reformasi dan merapatkan pasukan bagi menghadapi cabaran termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun berkata, pemilihan ini adalah medan persaingan sihat yang perlu dilihat dan dirangkum dalam perspektif yang luas dalam mendepani cabaran politik tanah air dan memenuhi harapan rakyat.
Justeru, Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang menawarkan diri mempertahankan jawatan Naib Presiden berharap seluruh ahli parti terus bersatu, menjunjung prinsip keadilan dan memilih kepemimpinan yang mampu membawa suara rakyat dengan amanah dan berintegriti.
“Bersama, kita bina Keadilan yang lebih kuat, lebih mantap dan terus menjadi harapan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan rasmi menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan itu.
Beliau berkata, segala daya upaya yang ada dan segenap kekuatan setiap pendokong perjuangan reformasi perlu dirangkum untuk memperkukuh parti, memperluas sokongan rakyat, dan menyumbang secara aktif dalam memastikan Keadilan kekal sebagai parti masa depan rakyat Malaysia.
“Ayuh kita teruskan kesinambungan kepimpinan yang berprinsip, inklusif dan progresif yang amat penting dalam memastikan Keadilan terus melangkah ke hadapan sebagai parti pelbagai kaum yang benar-benar mewakili suara rakyat.
Kepimpinan yang dipilih perlu komited untuk terus menjadi jambatan antara akar umbi dan pimpinan tertinggi parti, memperkukuh struktur organisasi, dan memacu agenda reformasi yang menjadi tunjang perjuangan Keadilan,” katanya.
Aminuddin juga mengharapkan sokongan rakan-rakan seperjuangan seluruh negara, dari Perlis sehingga ke Sabah dan Sarawak untuk bersama-samanya dalam meneruskan agenda perjuangan ini.
“Semoga proses pemilihan nanti berjalan dengan lancar, telus dan semestinya menjadi cerminan semangat demokrasi yang sihat dalam parti Keadilan.,” kata
Aminuddin, antara 12 calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu.
Calon lain bagi Naib Presiden adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan; Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran; Dr Ketua Cabang PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan.
Ketua Cabang PKR Hulu Rajang/Ahli Dewan Negara, Abun Sui Anyit; bekas Exco Selangor Hee Loy Sian; Pengerusi Institut Keusahawanan Negara Mustaffa Kamil Ayub dan Ketua Cabang PKR Jempol Manivanan Gowin.
Nnn