8,573,873 jalani ujian saringan

PUTRAJAYA 16 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 8,573,873 ujian saringan Covid-19 sejak 1 Januari 2021 sehingga 13 Mei 2021.

Ini merangkumi 4,747,837 ujian real-time Reverse- Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan 3,826,036 ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) termasuk saringan Perkeso dan bukan Perkeso.

Purata jumlah ujian saringan yang dijalankan secara harian adalah 63,925 sampel dari 7 Mei 2021 hingga 13 Mei 2021 manakala, purata jumlah ujian mingguan dari Minggu Epid (ME) ke-15 hingga ME ke-18 adalah 483,518 sampel.

Ini menunjukkan peningkatan jumlah saringan yang dijalankan berbanding bulan sebelumnya (ME ke-11 hingga ME ke-14), di mana purata jumlah ujian mingguan yang dijalankan adalah 369,456 sampel (peningkatan sebanyak 23.6 peratus).

Sehingga kini, menurut KKM pelbagai langkah kesiapsagaan berikutan pertambahan bilangan kes Covid-19 di Malaysia telah dilaksanakan. Ini termasuklah;

Menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian diagnostik RT-PCR; Penyumberluaran ujian saringan Covid-19 ke makmal swasta; Penggunaan ujian RTK-Ag sebagai ujian saringan Covid- 19 bagi mengesan wabak Covid-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar; dan

Pengujian saringan menggunakan air liur yang lebih mudah dan cepat serta boleh dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat.

Masyarakat diingatkan untuk terus mengamalkan SOP yang digariskan khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. KKM ingin mengingatkan individu yang bergejala dan dari kawasan berisiko tinggi, dinasihatkan membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Bagi yang telah menjalani ujian pengesanan Covid-19, dan menerima keputusan, boleh memaklumkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera iaitu “self-notification”.

Individu yang telah diambil sampel perlu menjalankan pengasingan kendiri sehingga keputusan ujian saringan didapati negatif.

Semua makmal yang menjalankan ujian SARS-CoV-2 sama ada makmal kerajaan atau swasta dikehendaki memasukkan data keputusan ujian sampel (sama ada negatif ataupun positif) ke dalam sistem SIMKA.

Setiap pemohon (PKD atau Klinik Kesihatan) akan mengakses keputusan makmal ini secara atas talian. Keputusan dari makmal swasta juga akan dimaklumkan dengan segera kepada KKM melalui saluran sediada.

“Tempoh masa PKP ini merupakan suatu tempoh yang sangat genting bagi kita untuk bersama-sama melandaikan keluk jangkitan Covid-19 di negara kita,” kata KKM.

Peningkatan kapasiti hospital dan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti memerlukan tindakan kesihatan awam yang efektif serta kerjasama semua lapisan masyarakat bagi memastikan usaha yang telah kita laksanakan selama ini membuahkan hasil.

Related posts

Leave a Comment