4,092 kematian harian di India

MUMBAI 9 Mei – India melaporkan lebih 4,000 kematian baharu akibat Covid-19 hari ini, hari kedua berturut-turut merekodkan jumlah yang sama.

Kementerian Kesihatan melaporkan 4,092 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 242,362 sejak pandemik itu melanda.

Sebanyak 403,738 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan 22.3 juta kes.

Dengan kekurangan bekalan peralatan oksigen dan katil hospital serta rumah mayat dipenuhi jenazah, para pakar berkata jumlah sebenar kes dan kematian Covid-19 di negara itu mungkin jauh lebih tinggi.

Banyak wilayah di India sudah melaksanakan perintah berkurung yang ketat sepanjang bulan lalu mengekang lonjakan jangkitan manakala wilayah-wilayah lain mengumumkan sekatan ke atas pergerakan orang ramai dan menutup pawagam, restoran, tempat hiburan dan pusat beli-belah.

Namun tekanan semakin meningkat, mendesak Perdana Menteri Narendra Modi supaya mengumumkan pelaksanaan satu lagi perintah berkurung seluruh negara seperti yang dikuatkuasakan semasa gelombang pertama tahun lalu.

India melaporkan jumlah kematian harian tertinggi pada Sabtu, 8 Mei iaitu sebanyak 4,187.

Institut bagi Penilaian Kesihatan menganggarkan angka kematian pesakit Covid-19 boleh mencapai 1 juta orang menjelang Ogos akan datang.

Related posts

Leave a Comment