Singapura lapor 28 kes baharu

SINGAPURA 9 Mei – Sebanyak 28 kes baharu Covid-19 termasuk 18 kes import dilaporkan di Singapura setakat tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 61,359 dengan 31 kematian. 

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), 10 melibatkan kes jangkitan baharu dalam masyarakat, empat dikaitkan dengan pekerja pembersihan, 88 tahun di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dan disahkan positif pada Rabu.

Kluster Hospital Tan Tock Seng (TTSH) yang melibatkan seorang jururawat di Wad 9D hospital  itu bertambah tiga lagi kes menjadikan 43 kes.

Dua daripadanya lelaki berusia 52 dan 90 tahun manakala seorang lagi wanita 78 tahun yang merupakan pesakit di Wad 9D.

Kluster lapangan terbang pula kini mempunyai lapan kes, di mana empat kes baharu dilaporkan yang turut melibatkan pemegang permit kerja wanita berusia 51 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Pesakit kedua merupakan lelaki Singapura berusia 57 tahun, seorang pembantu pegawai polis di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dan kes ketiga lelaki warga Singapura berusia 63 tahun, pengendali troli dan pekerja pembersih di Terminal 3.

Kes terakhir dikaitkan dengan kluster ini adalah lelaki Singapura berusia 66 tahun yang bekerja sebagai pengiring penumpang SATS di Terminal 3.

Sementara itu,  kes import, satu kes melibatkan rakyat Singapura dan 10 adalah penduduk tetap Singapura yang pulang dari India, Indonesia dan Yaman.

Seorang lagi merupakan pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia.

Lagi empat kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Indonesia, di mana kesemuanya adalah pembantu rumah hijrahan.

Satu lagi kes melibatkan pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Indonesia dan mempunyai anggota keluarga warga Singapura dan kes berikutnya  anak kapal yang memegang pas khas. Beliau tiba dari Malaysia dengan menaiki kapal dan diuji di atas kapal.

Sementara itu 21 lagi pesakit dibenarkan pulang daripada hospital menjadikan angka keseluruhan 60,933 sudah pulih sepenuhnya.

Sebanyak 133 kes masih dirawat di hospital termasuk dua yang kritikal dan dirawat di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment