3,551 kes harian, 19 kematian

PUTRAJAYA 6 Mei – Walaupun turun sedikit, Malaysia terus mencatatkan kes baharu jangkitan Covid-19 melebihi angka 3,000 apabila merekodkan 3,551 kes baharu berbanding 3,744 yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan ini, jumlah kumulatif kini 427,927 kes.

Beliau berkata sebanyak 2,709 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh adalah 392,555 kes yang bersamaan dengan 91.7 peratus.

Sebanyak 19 kematian baharu melibatkan 18 warganegara dan seorang bukan warganegara dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,610 kes.

Kematian pada hari ini melibatkan lima kes di Sarawak, masing-masing tiga kes di Johor dan Selangor, masing-masing dua kes di Kelantan dan Kuala Lumpur, serta masing-masing satu kes di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, dan Terengganu.

Beliau juga memberitahu, sebanyak 354 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 199 menerima bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment