LANGKAH terbaik untuk menangani peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia adalah gabungan program vaksinasi dan amalan langkah-langkah kesihatan awam yang lain.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataannya turut mengesyorkan rakyat Malaysia untuk mengambil vaksin apabila tiba giliran manakala mereka yang sudah diberi vaksin perlu kekal mematuhi langkah-langkah kesihatan awam.
Ini termasuk penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, kebersihan tangan dan pernafasan dan memastikan pengudaraan yang baik dengan membuka tingkap dan pintu sekiranya boleh.
Menyentuh mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dimulakan sejak Februari 2021, WHO yakin kadar penerimaan vaksin di Malaysia adalah tinggi.
Dalam tinjauan terbaharu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 85 peratus individu di Malaysia bersedia mendapatkan vaksin terhadap Covid-19.
Malaysia juga bersiap-sedia untuk mengesan, mendiagnosis dan segera menangani kejadian serius setelah imunisasi.