Sekatan perjalanan AS ke atas India

WASHINGTON: Mulai 4 Mei ini Amerika Syarikat akan mengenakan sekatan perjalanan ke atas India, sekali gus menghalang kebanyakan warga bukan rakyat Amerika daripada memasuki negara itu.

Sekatan-sekatan baharu itu, adalah atas nasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan dilaksanakan disebabkan jumlah kes tinggi serta skop pandemik Covid-19 di India yang terus meningkat.

Januari lalu, Biden mengeluarkan larangan serupa ke atas kebanyakan penduduk bukan rakyatnya yang memasuki negara itu dari Afrika Selatan.

Beliau juga mengenakan sekatan ke atas hampir semua pengunjung bukan rakyat Amerika dari Brazil, Britain, Ireland dan lagi 26 negara di Eropah yang membenarkan perjalanan rentas sempadan. China dan Iran juga dimasukkan dalam senarai tersebut.

Penduduk Tetap Amerika dan keluarga mereka serta sebahagian penduduk bukan rakyat, seperti pelajar, dikecualikan.

India menduduki tempat kedua selepas Amerika dari segi jumlah kes jangkitan Covid-19 dan negara itu melaporkan lebih 300,000 kes baharu setiap hari selama sembilan hari berturut-turut, mencatat satu lagi rekod global iaitu 386,452 semalam.

Angka korban pula melepasi 200,000 dan kes-kes hampir mencecah 19 juta – hampir lapan juta sejak Februari sahaja – memandangkan varian-varian baharu sudah menular dalam acara-acara besar seperti  pilihan raya dan pesta keagamaan.

Related posts

Leave a Comment