SYDNEY: Individu yang memasuki Australia dari India boleh didenda dan dihukum penjara hingga lima tahun, susulan langkah kerajaan memperketat sekatan perjalanan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Bermula Isnin ini, mana-mana pengembara yang memasuki Australia selepas berada di India dalam tempoh 14 hari sebelum itu, boleh dikenakan tindakan itu sebagai tambahan kepada sekatan sementara diumumkan pada awal minggu ini.
Tindakan tegas itu diambil setelah pengembara dalam penerbangan tidak langsung dari India, mendedahkan kelemahan dalam usaha kerajaan untuk menyekat sementara ketibaan dari negara terbabit.
Menteri Kesihatan, Greg Hunt, dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan menimbangkan semula sekatan-sekatan itu pada 15 Mei.
“Pemerintah tidak membuat keputusan ini dengan mudah. Bagaimanapun, penting untuk memastikan integriti kesihatan awam Australia dan sistem kuarantin dilindungi dan jumlah kes Covid-19 yang dikuarantin di kemudahan-kemudahan dikurangkan ke paras yang boleh dikawal,” kata Hunt.
Keputusan darurat itu, yang dibuat lewat hari Jumaat (30 Apr), adalah sebahagian daripada langkah-langkah yang diperketatkan untuk menyekat para pengunjung dari negara kedua paling ramai penduduk di dunia itu daripada memasuki Australia, sedang ia berdepan kenaikan kes dan kematian akibat Covid-19.
“Ingatan kami ditujukan kepada rakyat India – dan masyarakat India-Australia. Rakan-rakan dan keluarga mereka yang berada di Austrlia berisiko tinggi. Tragis sekali, ramai yang dijangkiti Covid-19 dan malangnya ramai yang meninggal dunia setiap hari,” kata Hunt.
Australia pada 27 April memulakan penggantungan sementara penerbangan-penerbangan langsung dari India untuk mencegah varian-varian baharu dari negara itu daripada menyusup masuk ke Australia.
Setakat ini Australia berjaya membendung penularan Covid-19 selepas menutup sempadan kepada pengunjung bukan penduduk dan penduduk tetap pada Mac 2020.