Dua lagi kematian di Brunei

BERAKAS 15 Sept. – Dua lagi pesakit meninggal dunia hari ini dengan 135 kes baharu Covid-19 direkodkan Brunei Darussalam menjadikan jumlah keseluruhan 20 kematian dan 4,566 kes jangkitan.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, kematian melibatkan seorang wanita berusia 41 tahun dan lelaki 77 tahun yang kedua-duanya mengalami masalah paru-paru selepas dijangkiti Covid-19.

Pada masa yang sama, sebanyak enam kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster meningkat kepada 82.

Menurut Dr Md Isham, Kluster 3278 merekodkan empat kes; Kluster 3892 satu kes; Kluster 3859 satu kes; Kluster 4157 empat kes; Kluster 4401 sembilan kes dan Kluster 4490 empat kes.

Katanya, semua kes kluster baharu ini termasuk kes yang sebelum ini tidak diketahui punca jangkitannya.

Di samping itu terdapat 15 kes tambahan melibatkan 10 kluster aktif di mana mereka yang terlibat adalah individu yang dikuarantin dan mempunyai kontak dengan kes-kes sebelum ini.

Pada masa yang sama 97 kes lagi masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Brunei juga merekodkan 132 kes sembuh termasuk 21 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Jumlah kes sembuh di Brunei Darussalam meningkat kepada 2,988 kes dengan jumlah kes aktif 1,549 kes.

Dalam kalangan kes aktif itu, sembilan dalam keadaan kritikal di mana lapan memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).

Sementara itu, 33 kes kategori 4 kini dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

 

Related posts

Leave a Comment