Bantu KKM hadapi situasi kritikal

PUTRAJAYA 1 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang mutakhir ini amat membimbangkan.

Sekiranya trend peningkatan kes berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Menurut kenyataan KKM, kadar penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Manakala Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus. Ini adalah berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas.

Setakat hari ini, 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit Covid-19 di Lembah Klang sahaja.

Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil kritikal/ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil kritikal apabila terdapat keperluan mendesak;

Menurut kenyataan itu lagi, bermula dari Minggu Epid 12/2021 sehingga Minggu Epid 17/2021 (1 Mei 2021), KKM merekodkan peningkatan trend kes Covid-19 di Malaysia. Kumulatif kes yang dilaporkan sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 79,881 kes dan Selangor melaporkan jumlah kes yang tertinggi iaitu sebanyak 22,099 kes (27.7 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 7,019 kes (8.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebanyak 264 kes (0.3 peratus).

KKM ingin memaklumkan bahawa nilai Rt bagi Covid-19 di Malaysia juga menunjukkan peningkatan. Nilai Rt terkini Malaysia adalah 1.14 manakala nilai Rt Selangor adalah 1.20, WP Kuala Lumpur adalah 1.16 dan WP Putrajaya adalah 1.0. Ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0.

Memandangkan situasi yang ada, KKM meminta masyarakat untuk sama-sama membantu dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan bagi memutuskan rantaian jangkitan di negara ini.

Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini.

Related posts

Leave a Comment