PM Lee ingatkan rakyat jangan leka

SINGAPURA 1 Mei – Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi amaran bahawa pemutus rantaian jangkitan kali kedua jika dilakukan akan menjadi satu “tamparan hebat” terhadap usaha memulihkan ekonomi Singapura.

“Jika kita perlu melaksanakan satu lagi tempoh pemutus rantaian jangkitan, ia adalah satu tamparan hebat kepada rakyat dan pemulihan ekonomi. Jangan biarkan ia berlaku.”, katanya

Beliau mengingatkan dengan kemunculan varian-varian baharu , keadaan Covid-19 di negara ini boleh segera memburuk sekali lagi.

“Jangan ulangi kesilapan yang dilakukan negara-negara lain. Raikan terlalu awal, beri kelonggaran terlalu awal, leka melindungi diri, punca satu lagi penularan berlaku – dan sering kali lebih buruk daripada penularan kali pertama dan langkah-langkah pengurusan selamat akan lebih mendadak,” kata Lee.

Perdana Menteri memberi peringatan itu semasa menyampaikan ucapan Rapat Hari Buruh kepada sekitar 200 pemimpin kesatuan dan rakan-rakan perikatan tiga pihak Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di D’Marquee di Downtown East.

Beliau menggesa rakyat Singapura supaya jangan leka melindungi diri susulan kemunculan kelompok-kelompok baharu Covid-19 dalam kalangan masyarakat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Pemerintah sedang melakukan apa sahaja untuk membendung kelompok-kelompok ini daripada terus menular dalam kalangan masyarakat. Kita perlu tangkas dalam respons kita dan segera memperketatkan langkah-langkah pengurusan selamat untuk mengawal penularan dan mengelak daripada menguatkuasakan pemutus rantaian jangkitan kali kedua,” kata Lee.

Kebelakangan ini muncul kelompok baharu kes termasuk 13 kes di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan anggota keluarga pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang terjangkit.

Empat wad di TTSH juga ditutup dan beberapa pegawai ICA sudah dikuarantin.

Related posts

Leave a Comment