PUTRAJAYA 11 Nov – Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024 yang sedang berlangsung di sini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan yang bercita-cita memupuk nilai kesatuan dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penganjuran majlis itu juga untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap hadis Nabi Muhammad SAW.
Beliau berkata penganjuran itu turut menyahut ajaran agama Islam yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan, ilmu rohani dan duniawi kerana ia menjadi asas pembinaan tamadun manusia.
“ Ia turut melonjakkan penghayatan masyarakat terhadap hadis sahih Rasulullah SAW dan menghargai kekayaan legasi khazanah ilmu ditinggalkan ulama terdahulu,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu di Masjid Putra di sini malam tadi.
Program selama 11 hari itu dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ( Yadim) serta Pertubuhan Kebajikan Al-Taibah dan Majlis Bukhari Malaysia.
Bertemakan “Menyemai Ilmu, Mengukuh Perpaduan, Menjulang Negara MADANI” majlis itu menghimpunkan 16 ulama serta ilmuan tersohor dari Malaysia dan beberapa negara antaranya Indonesia, Syria, Mesir, India dan Tunisia.
Dr Mohd Na’im berkata, bagi mengukuhkan perpaduan, umat Islam perlu berpegang teguh kepada prinsip persaudaraan yang ditekankan dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
“Saya harap program ini dapat menjadi asas untuk memperkukuh lagi hubungan persaudaraan dan kesatuan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Menurut beliau lagi, kehadiran ulama dan ilmuan tersohor termasuk dari luar negara untuk menyampaikan syarahan berkaitan hadis sahih al-Bukhari mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memelihara warisan ilmu Islam serta mempertahankan nilai kesatuan dalam kalangan umat.
“Kami sentiasa memuliakan ilmu pengetahuan dan meraikan kehadiran ulama. Selamat datang diucapkan kepada para ulama dan tetamu yang dihormati.
“Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di sini sangat bermakna bagi kami di Malaysia kerana keberadaan kalian di tanah air kami merupakan satu kebanggaan dan keberkatan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar penganjuran majlis seumpama itu diteruskan bagi memastikan Malaysia menjadi model negara Islam yang mengutamakan ilmu, perpaduan dan kemajuan dalam pelbagai bidang.
“Marilah kita meneruskan komitmen dan usaha dalam memelihara serta memperkasakan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Selesai majlis perasmian, para peserta majlis itu mendengar tausiyah khas syarahan Madkhal Sahih al-Bukhari oleh ulama dari Syria Syeikh Muhammad Abul Huda al-Ya’qubi diikuti solat Isyak dan solat hajat.
Nnn
