BANGKOK 30 April – Mulai esok, 1 Mei, Thailand mengambil beberapa langkah bagi mengawal penularan Covid-19 termasuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib untuk pengunjung antarabangsa dari antara tujuh hingga 10 hari, kepada 14 hari.
Dengan membahagikan kepada tiga kategori zon – zon merah gelap, merah dan orange, pemakaian pelitup muka juga diwajibkan di semua provinsi dalam negara itu.
Larangan makan di restoran juga dikuatkuasakan di kawasan yang dikawal maksimum dan ketat di Bangkok, Chiang Mai, Chonburi, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan – yang dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi untuk jangkitan.
Di kawasan lain boleh makan di restoran untuk tempoh tertentu dan selebihnya beli dan bawa pulang.
Semua khidmat beli dan bawa pulang di kawasan kawalan maksimum dan ketat dibenarkan sehingga 9 malam (waktu tempatan) sementara pasar dan kedai serbaneka akan dibuka dari pukul 4 pagi hingga 11 malam dan pusat beli-belah akan terus dibuka hingga 9.00 malam.
Sekatan dan langkah terbaru itu adalah hasil mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha semalam.
Menurut CCSA, semua ketibaan yang memiliki Sijil Kemasukan (CoE) yang dikeluarkan pada atau setelah 1 Mei akan menjalani kuarantin 14 hari, tanpa mengira kerakyatan dan status vaksinasi mereka.
Sebelum ini, mulai 1 April, pengunjung perlu menjalani kuarantin 10 hari sementara pelancong yang divaksinasi hanya perlu diasingkan selama tujuh hari
Bagi pelancong yang memperoleh CoE sebelum 1 Mei dan tiba sebelum 6 Mei akan dikuarantin selama tujuh atau 10 hari, bergantung pada status vaksinasi mereka.
Mereka yang dimasukkan ke kemudahan kuarantin negara alternatif diwajibkan untuk tinggal di dalam bilik setiap waktu dan tidak dibenarkan menggunakan kemudahan di hotel disamping diwajibkan menjalani tiga ujian Covid-19 sepanjang tempoh 14 hari kuarantin.