710 kes, 10 kematian

SEPULUH kematian dicatatkan hari ini, 23 Oktober, angka tertinggi setakat ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 214 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 710 kes baharu juga direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 24,514 kes.

Daripada jumlah itu, terdapat satu kes import di Kuala Lumpur yang menerima jangkitan dari luar negara melibatkan bukan warganegara yang memasuki Malaysia dari Nepal.

“Berdasarkan angka itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah sebanyak 8,416 kes,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Mengenai kes kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata lapan kes direkodkan di Sabah manakala masing-masing satu kes di Kedah dan Labuan.

“Kematian ke-206, 207, 209, 210, 211, 212 dan 213 melibatkan warga tempatan sementara kematian ke-205, 208 dan 214 pula membabitkan warga asing,” katanya.

Sementara itu, sebanyak  467 kes pulih direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 15,884 kes.

Beliau berkata daripada jumlah itu, Sabah turut merekodkan jumlah kes pulih tertinggi dengan 246 kes, diikuti  Selangor sebanyak 105 kes dan Kedah dengan 74 kes.

Sehingga kini, terdapat 90 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 28 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan turut mengesan tiga lagi kluster baharu iaitu Kluster Samudera di Sabah, Kluster Palma di Selangor dan Kluster Jaya di Selangor serta Negeri Sembilan.

Sabah masih merekodkan kes baharu harian tertinggi dengan pertambahan 528 kes diikuti Selangor (62 kes).

Related posts

Leave a Comment