Watikah pelantikan YDP Negeri

KUALA LUMPUR 30 April – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang kelapan kepada Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak di Istana Negara.

Pelantikan bekas diplomat itu berkuat kuasa esok sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang telah berkhidmat selama 20 tahun.

Selepas istiadat pengurniaan watikah itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Ahmad Fuzi.

Istiadat pengurniaan yang berlangsung pagi ini turut disaksikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Turut hadir isteri perdana menteri, Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Dr Rais Yatim; Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Abdul Razak Jaafar.

Ahmad Fuzi, 72, yang merupakan anak jati Sungai Bakap, Pulau Pinang, menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara pada 1972 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri sehingga tahun 2009.

Beliau pernah mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa dan terlibat dalam penganjuran sidang kemuncak seperti Sidang Kemuncak NAM (Pergerakan Negara-negara Berkecuali), Sidang Kemuncak OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan Sidang Kemuncak ASEAN.

Related posts

Leave a Comment