JUMLAH kes Covid-19 di India sudah melepasi angka 18 juta orang pada Khamis, 29 April selepas satu lagi ‘rekod dunia’ baharu dicatatkan berhubung jangkitan koronavirus tersebut.
Menurut data Kementerian Kesihatan negara itu, dalam tempoh 24 jam, India melaporkan sejumlah 379,257 kes baharu Covid-19 dan 3,645 kematian.
Angka kematian dalam sehari itu adalah yang tertinggi direkodkan setakat ini sejak pandemik bermula.
Sementara itu, pekerja pengurusan mayat bertungkus-lumus sepanjang waktu.
Menurut laporan media, kerja mengebumi mayat menjadi rumit, malah banyak upacara pembakaran mayat terpaksa dilakukan di kawasan terbuka seperti di tapak letak kereta dan di taman awam.
India, negara yang populasinya kedua tertinggi di dunia itu kini dalam krisis terburuk, apabila keadaan di hospital dan rumah mayat sesak dengan para petugas kesihatan menggunakan sisa tenaga masing-masing untuk berdepan impak pandemik itu.