Majlis Neelofa dikompaun RM60,000

KUALA LUMPUR 27 April – Akhirnya segala persoalan terjawab apabila usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tindakan mengenakan kompaun yang tidak dibenarkan diskaun terhadap Neelofa kerana melakukan dua kesalahan, manakala Haris atau dikenali PU Riz hanya satu kesalahan.

Sementara 20 ahli keluarga lain dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung.

Katanya, pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis.

Neelofa selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Sabtu lalu.

Isu perlanggaran SOP pada majlis itu timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Related posts

Leave a Comment