Isu kompaun RM50,000 peniaga burger

PUTRAJAYA 27 April – Denda maksimum bagi pengusaha perniagaan yang melakukan kesalahan beroperasi melebihi waktu dibenarkan ialah RM10,000, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Perkara itu ditetapkan dalam Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurut Takiyuddin, kompaun di bawah akta tersebut mesti berdasarkan garis panduan yang ditetapkan dan segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang adalah bertujuan pencegahan dan bagi memberi pengajaran kepada pelaku.

Katanya, Ini supaya, semua pihak bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dalam komuniti, yang masih lagi di peringkat kritikal dan serius.

Katanya, pindaan dibuat terhadap Akta 342 bagi menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan terhadap sesuatu kesalahan kerana menyebabkan penularan Covid-19 dalam negara.

Takiyuddin berkata, mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori 3 yang boleh dikenakan kompaun maksima RM10,000.00.

“Pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50% sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh 7 hari dan 25% sekiranya dalam tempoh 14 hari,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan pada Isnin, peniaga burger Wan Mohd Faisal Wan Kadir,38meluahkan rasa kecewa melalui media sosial apabila dikompaun RM50,000 kerana kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Katanya, ketika sedang berniaga di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, dia didatangi pihak polis pada kira-kira jam 11 malam.

“Alahai dugaan bulan puasa, berniaga burger depan tangga rumah, pukul 11 malam polis mari. Niaga burger kena kompaun RM50,000.

“Semoga rezeki aku dan keluarga bertambah, Ada hikmah di sebalik kejadian, niaga pun untuk buat lepas bayar bil bulan-bulan saja,” katanya melalui status yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya.

Related posts

Leave a Comment