Tun M akui kerajaan lakukan yang terbaik

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad  yakin kerajaan sedang melakukan yang terbaik bagi menangani Covid-19 tetapi banyak perkara lain perlu dilihat oleh pemerintah.

“Saya rasa kerajaan sedang melakukan yang terbaik. Tetapi ada perkara lain yang harus dilihat oleh kerajaan. Panel doktor harus dibentuk untuk memberi nasihat kepada Kerajaan,” katanya.

Katanya, virus ini tidak akan hilang dengan mudah dan ia boleh melanda dunia dalam jangka masa yang lama.

“Negara-negara kaya harus berhenti menghabiskan ratusan bilion untuk cara membunuh orang. Saintis terbaik mereka harus mengkaji dan mengembangkan cara untuk memerangi wabak virus.

“Pada masa yang sama para penyelidik yang bermain-main dengan virus, bakteria dan bahan kimia harus dikendalikan untuk mengelakkan tumpahan secara tidak sengaja atau sengaja ke dalam sistem.

“Kita akan hidup dengan wabak untuk jangka masa panjang. Kita mesti belajar bagaimana bertahan. Kita mesti mengembangkan kepakaran dalam menangani mereka,” katanya melalui blognya Chedet.

Dr Mahathir menjelaskan sekiranya gelombang keempat menyerang, kakitangan barisan depan yang terlalu banyak bekerja mungkin tidak mampu lagi berkhidmat.

Katanya, jika kes positif baharu Covid-19 terus meningkat hospital juga mungkin tidak mempunyai bilangan katil yang mencukupi.

Beliau turut mencadangkan agar makanan percuma diberikan di kawasan-kawasan kritikal dan dihantar ke rumah bagi mengelakkan orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bekalan.

“Perniagaan dalam talian harus digalakkan. Ini bermaksud perkhidmatan penghantaran makanan diperlukan. Banyak orang dapat pekerjaan dalam perniagaan penghantaran ini. Tetapi mereka mesti mematuhi SOP khas untuk mereka.

“Membeli-belah harus tidak digalakkan. Semua pembelian harus dibuat dalam talian. Peruncit juga harus beriklan secara dalam talian. Dan semua pembayaran mesti dilakukan dalam talian.

“Kilang yang berintensifkan pekerja mesti mengurangkan tenaga buruh mereka. Harus ada lebih banyak robot dan automasi. Pekerja mesti memerhatikan jarak sosial dengan ketat. Majikan mesti memastikan ini di kilang,” kata Dr Mahathir.

Sementara bagi umat Islam yang mahu menunaikan solat berjemaah di masjid pula, Dr Mahathir menjelaskan, penjarakkan fizikal bukan hanya ketika menunaikan ibadah, tetapi juga sebaik selesai berurusan dengan Allah juga perlu diambil berat kerana ramai yang mengabaikan tanggungjawab mematuhi SOP.

Katanya, pandemik Covid-19 hanya dapat dibendung jika semua prosedur operasi standard dipatuhi dengan ketat.

Dr Mahathir juga menggesa kerajaan membenarkan hospital swasta memberi vaksin Covid-19 serta menggesa agar vaksin Sputnik V dan beberapa vaksin dari China perlu diperakui selain vaksin yang digunakan di Amerika Syarikat.

Related posts

Leave a Comment