PKPD dua institusi agama

KUALA LUMPUR 22 April – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru dan Maahad Tahfiz al-Quran Al-Asriah, Banggol Chicha, Pasir Mas, bermula esok 23 April sehingga 6 Mei 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu berikutan laporan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dua lokaliti berkenaan.

KKM telah melaksanakan 228 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 13 kes positif direkodkan di SMKA Johor Bahru manakala di Maahad Tahfiz al-Quran, Al-Asriah, Banggol Chicha, Pasir Mas, 46 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah itu sebanyak 28 kes positif direkodkan.

Beliau juga mengumumkan penamatan PKPD Institut Latihan Perindustrian (ILP) Taman Permata dan Taman Seri Labuk, Sandakan ; Kampung Gayang, Tuaran, Sabah.

“PKPD Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi, Rompin, Pahang pada 23 April ditamatkan lebih awal daripada dijadualkan.

Sementara itu, Ismail menjelaskan, 200 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Daripada jumlah itu, seramai 198 individu dikenakan kompaun manakala dua lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (53), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (46), tiada penjarakan fizikal (44), aktiviti pusat hiburan (28) dan lain-lain (29).

Op Benteng pula menangkap enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas sembilan kenderaan darat.

Katanya, sebanyak 157 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

Sementara itu tambahnya, seramai 593 warga asing menjalani ujian saringan pada Rabu dan tiada kes positif Covid-19 direkodkan.

Related posts

Leave a Comment