Tiada rentas negeri, tiada mudik lebaran

BERSEDIA untuk berhari raya di rumah masing-masing. Lima hari lalu Kementerian Kesihatan telah pun mencadangkan aktiviti rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan. Itu petanda awal.

Bagaimanapun masih ramai yang menaruh harapan agar peluang itu muncul. Tetapi angka kes positif Covid-19 masih menunjukkan keadaan yang membimbangkan. Angka itu (ada yang kata manipulasi) amat penting sebagai kayu ukur.

Bagi yang masih tertanya-tanya sama ada boleh atau tidak rentas negeri untuk berhari raya, bayangan awal ada pada kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi. Sama ada tepat atau tidak, jawapan ‘bocor’ itu boleh dijadikan persediaan.

Dalam kenyataannya, Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani menjelaskan mengenai syarat-syarat rentas negeri yang boleh diluluskan atau tidak.

Selain urusan kecemasan dan pasangan jarak jauh serta hari pergerakan yang dibenarkan, pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis/jamuan adalah dilarang.

“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri. Mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas”, katanya. Amat jelas ‘jawapan’ itu.

Justeru jangan terlalu menarih harapan untuk rentas hari raya. Kecuali diizin mudik atau rentas seminggu kemudian tutup semula dengan PKP. Satu langkah yang tidak sewajarnya sebaliknya mengundang masalah.

Untuk rekod, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur dijadualkan tamat 28 April, manakala Sarawak 26 April. Mungkin bertukar ke PKP Pemulihan (PKPP) tanpa rentas Aidilfitri.

Bersedialah sekali lagi untuk berhari raya di rumah masing-masing. Mungkin tidak terlalu ketat seperti tahun lalu. Mungkin lebih ‘meriah’ selepas ‘kelonggaran’ yang diberi dengan penganjuran bazar Ramadhan dan bazar Aidilfitri.

Dalam hal ini Indonesia mengumumkan lebih awal pada 26 Mac lalu yang melarang penduduknya melakukan tradisi ‘mudik lebaran’ mulai 6 hingga 17 Mei – sebelum dan selepas Aidilfitri.

Presiden Joko Widodo berkata, larangan itu dibuat melalui pertimbangan matang berdasarkan pengalaman tahun lalu yang menunjukkan kenaikan kes Covid-19 sepanjang empat kali libur panjang.

“Seusai libur Idulfitri tahun 2020, kenaikan jumlah kasus harian mencapai 93 persen dan tingkat kematian mingguan naik 66 persen. Begitu juga libur panjang 20-23 Agustus 2020, masa libur 28 Oktober hingga 1 November 2020, dan libur akhir tahun 2020 sampai tahun baru 2021, selalu diikuti kenaikan kasus,” kata Jokowi melalui Facebooknya.

Menurut Jokowi, dua bulan terakhir menunjukkan penurunan kes iaitu dari 14,000 pada awal tahu 2021 menjadi sekitar 4,000 hingga 6,000 sehari dan trend penurunan inilah yang harus dijaga.

“Saya amat memahami kerinduan kita semua untuk merasakan suasana lebaran bersama keluarga di kampung halaman. Namun, di tengah situasi pandemi saat ini, keselamatan bersama harus didahulukan.

“Mari kita isi Ramadan seraya berikhtiar memutus rantai penularan wabah demi keselamatan kita dan seluruh sanak saudara,,” kata Jokowi yang akan turut bersama anggota Kabinetnya menyambut lebaran di Jakarta.

Related posts

Leave a Comment