Modi mulakan lawatan rasmi dua hari

SEPANG 7 Feb. – Perdana Menteri India, Narendra Modi tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi dua hari atas undangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pesawat membawa Modi dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.40 petang.

Ketibaannya disambut oleh Anwar dan turut hadir menyambut ketibaan Modi ialah Menteri Sumber Manusia,  R Ramanan selaku menteri pengiring.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, yang diketuai oleh Kapten Mohd Afiq Aiman Mohd Zulkifli.

Modi kemudian disambut dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera India oleh 100 pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah Sains Banting dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bandar Baru Salak Tinggi.

Selain itu, persembahan kebudayaan yang melambangkan kepelbagaian masyarakat di Malaysia turut dipersembahkan.

Acara sambutan dimulakan dengan tiupan tetuang, diikuti persembahan paluan gendang Madani, termasuk jidor, gendang Cina dan dhol, yang menampilkan 12 pemuzik daripada pelbagai komuniti etnik, melambangkan keharmonian serta kekayaan kepelbagaian budaya Malaysia.

Suasana turut diserikan dengan persembahan 40 tarian oleh penari daripada Artistana Istana Budaya yang memakai kostum bertemakan kepelbagaian kaum, dan menampilkan gerak tari berunsur koreografi.

Modi kemudian menaiki kenderaan bersama Anwar menuju ke Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines.

Lawatan berkenaan sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024.

Kunjungan itu adalah yang ketiga oleh Modi dan yang pertama sejak hubungan dua hala dinaik taraf ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos 2024.

Modi dijadualkan mengadakan perbincangan dua hala dengan Anwar esok dan kedua-dua pemimpin dijangka menilai pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif serta merangka hala tuju baharu bagi kerjasama kedua-dua negara.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment