Tiada rentas negeri hujung minggu

KUALA LUMPUR 20 April – Permohonan pergerakan rentas negeri perlu memenuhi syarat ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jika diluluskan hanya dibenarkan bagi perjalanan Isnin hingga Khamis.

Manakala pergerakan hujung minggu – Jumaat hingga Ahad tidak diluluskan kecuali bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

Timbalan Ketua Polis Negara  Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya malam tadi berkata, langkah itu sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 berikutan peningkatan kes baharu sejak empat hari lalu.

Katanya,  pergerakan rentas negeri hanya bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli kekuarga terdekat (ibu bapa, anak dan adik beradik), perubatan, pendidikan serta pasangan jarak jauh.

Beliau menegaskan pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis/jamuan adalah dilarang.

“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri. Mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas”, katanya.

Beliau juga telah mengarahkan semua ketua polis daerah dan pasukan pemantau pematuhan SOP memberi perhatian kepada isu ketidakpatuhan SOP masyarakat ketika berada di bazar Ramadan atau pasar malam.

“Sekiranya SOP tidak dipatuhi, PDRM akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan tersebut dihentikan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment