WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menurunkan kadar tarif baharu ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang AS kepada 10 peratus selama 90 hari untuk rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.
Trump mengumumkan demikian beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balik yang lebih ketat oleh AS.
Bagaimanapun, Trump mengenakan lebih banyak cukai ke atas China, 125 peratus “berkuat-kuasa serta-merta” yang kini menjadi konfrontasi berskala penuh antara dua ekonomi terbesar dunia
Selepas beberapa hari kekacauan di pasaran global, saham-saham di Wall Street melonjak sebagai reaksi terhadap pengumuman Trump.
Melalui rangkaian Truth Social miliknya, Trump meluluskan penangguhan selama 90 hari selepas lebih 75 negara menghubungi pentadbirannya untuk berunding dan tidak mengambil tindakan balas terhadap Amerika Syarikat.
Ini bermakna, hanya kadar tetap tarif 10 peratus ke atas semua negara yang bermula pada hari Sabtu akan terus dikekalkan.
Dalam masa sama, ia menandakan perubahan besar daripada tarif berat sebelah yang sebelum ini turut menjejaskan sekutu rapat AS.
Namun begitu, Trump menuduh China masih “menipu” negaranya.
“Berdasarkan kekurangan rasa hormat yang ditunjukkan oleh China terhadap Pasaran Dunia, saya dengan ini menaikkan tarif yang dikenakan ke atas China oleh Amerika Syarikat kepada 125 peratus, berkuat kuasa serta-merta,” kata Trump.
Beberapa jam sebelum itu, Trump telah menaikkan tarif ke atas barangan dari China kepada 104 peratus.
China kemudian membalas dengan meningkatkan tarif ke atas import dari AS kepada 84 peratus.
“Pada satu ketika, harapnya dalam masa terdekat, China akan menyedari bahawa hari-hari menipu AS dan negara lain tidak lagi dapat diterima atau berdaya tahan,” kata Trump.
Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini melancarkan tindak balas balasnya sendiri dengan mengumumkan langkah-langkah menyasarkan beberapa produk AS bermula Selasa, sebagai tindak balas kepada tarif AS ke atas eksport keluli dan aluminium global.
Blok 27 negara itu yang pernah dituduh Trump sebagai dicipta untuk “memperbodohkan” Amerika, akan mengenakan tarif ke atas produk AS bernilai lebih 20 bilion euro, termasuk kacang soya, motosikal dan produk kecantikan.
Namun begitu, EU tidak mengambil tindakan balas terhadap tarif AS sebanyak 20 peratus yang mula berkuat kuasa pada Rabu.
Nnn