Kes penularan naik 45 peratus

PUTRAJAYA 19 April – Kes penularan wabak Covid-19 dikesan meningkat sehingga 45 peratus pada minggu ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba,

Menurut Dr Adham, berbanding minggu ke-14 tahun ini, purata kes pada minggu ke-15 sebanyak 1,963 kes.

Data pada 17 April mendapati sebanyak 372,859 kumulatif kes Covid-19 dilaporkan dan pada minggu ke-15 sahaja, sebanyak 13,742 kes dilaporkan.

“Bermakna, anggaran 1,963 kes sehari dan ini menunjukkan bahawa terdapat 45 peratus peningkatan kes berlaku berbanding minggu ke-14.

“Peningkatan kes ini dikesan sejak tiga minggu lepas sejak minggu ke-12,” katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19.

Dr Adham berkata, peningkatan kes Covid-19 dikesan berlaku sejak tiga minggu lalu, iaitu bermula pada minggu ke-12 tahun ini.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata hanya 0.003 peratus kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan kesihatan yang menerima dua dos suntikan vaksin.

Katanya, ia mencerminkan keberkesanan vaksin dalam menangani risiko jangkitan, maut dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Beliau menjelaskan, sembilan petugas barisan hadapan kesihatan yang didapati positif wabak itu tidak mengalami sebarang gejala teruk atau ringan.

“Jumlah petugas barisan hadapan kesihatan yang telah menerima dua dos vaksin adalah sebanyak 272,019 orang. Kita ambil sembilan kes yang telah terima dua dos dan disahkan positif, ia menunjukkan 0.003 peratus disahkan positif

“Dari apa yang saya difahamkan, Dr Adham Baba sahkan, tiada satu pun dari sembilan orang ini mengalami sebarang gejala teruk atau ringan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment