Kabinet juga tidak mudik lebaran

JAKARTA 19 April – Seluruh anggota Kabinet Indonesia serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan akan turut menyambut Hari Raya Aidilfitri di Jakarta berikutan larangan mudik lebaran bagi mengekang penularan Covid-19.

Keputusan itu diharap dapat menjadi teladan bagi seluruh rakyat di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia itu agar tidak pulang ke kampung untuk meraikan hari raya seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dengan keputusan itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) serta Naib Presiden, Maáruf Amin akan turut menyambutnya di Jakarta.

“Presiden Joko Widodo bersama semua menteri, wakil presiden, semua ketua jabatan tidak akan pulang kampung kerana mahu menjadi contoh kepada masyarakat,” kata jurucakap Presiden dalam bidang komunikasi, Fadjroel Rachman.

Dalam kenyataan media, Fadjroel sendiri mengakui, beliau sudah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Kalimantan Selatan bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarganya.

Bagaimanapun, hasrat itu dibatalkan ekoran kerajaan melarang tradisi mudik lebaran pada 2021 berikutan jangkitan wabak Covid-19 masih belum reda.

Jokowi juga, kata Fadjroel, sudah mengarahkan semua menteri agar tidak menganjurkan majlis berbuka puasa beramai-ramai dan majlis rumah terbuka pada Aidilfitri juga tidak dibenarkan.

Presiden Jokowi sebelum ini mengumumkan kerajaan melarang perantau untuk pulang ke kampung halaman pada sambutan hari raya pada bulan depan bagi mengekang penularan Covid-19.

Larangan tersebut dibuat selepas pengalaman daripada empat cuti umum panjang di Indonesia sebelum ini telah mencetus kenaikan kes pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment