PN nafi lapan lagi akan sokong PM

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan lapan lagi Ahli Parlimennya akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjelang pembukaan sidang Dewan Rakyat hujung bulan ini.

Sebaliknya, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin menyifatkan Ahli Parlimen Bukit Gantang,  Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang membuat dakwaan seumpama itu sebagai ‘hilang akal’.

“Dakwaan lapan lagi Ahli Parlimen itu dakwaan orang yang hilang akal. Dia sudah hilang akal, dia sudah sertai belah sana (blok kerajaan), jadi dia terpaksalah buat cerita lain.

“(Ini) Datuk Seri Saifuddin (Abdullah, Ahli Parlimen dari) Pahang. Dua-dua kat sini (termasuk Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah) menafikan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini hari ini

Beliau berkata, PN juga sudah meminta peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Ya kita sudah lantik peguam,” katanya ketika ditanya media bila PN akan menyaman semua Ahli Parlimen yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Anwar.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota sebelum ini menolak dakwaan dua Ahli Parlimen Bersatu di Pahang antara 10 lagi Ahli Parlimen pembangkang akan mengumumkan sokongan kepada Anwar.

Penafian itu dibuat susulan dakwaan bahawa sekurang-kurangnya lapan Ahli Parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan kepada Anwar pada sidang Parlimen akan datang.

Related posts

Leave a Comment