Iftar maya PM Singapura

SINGAPURA 17 April – Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyertai 110 anggota masyarakat dalam satu majlis berbuka puasa secara online semalam (Jumaat) yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Turut hadir  Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan para pemimpin berbilang agama.

Acara berbuka puasa itu biasanya diadakan di masjid dan dihadiri PM Lee setiap tahun, tetapi disebabkan pandemik Covid-19 ia terpaksa dilakukan secara maya.

Pada majlis itu,  Lee merakamkan penghargaan kepada para pemimpin masyarakat Islam setempat di atas sokongan yang ditunjukkan dalam tiga isu utama iaitu mengendalikan cabaran Covid-19, mengekalkan keharmonian agama termasuk dalam komplot mahu menyerang warga Yahudi Singapura dan isu tudung jururawat.

“Terima kasih kerana membantu menjelaskan kepada masyarakat mengenai pendekatan pemerintah dalam isu-isu sensitif yang penting kepada masyarakat Islam. Salah satu isu itu adalah pemakaian tudung, khususnya bagi jururawat,” kata Lee.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin agama termasuk agama Islam atas peranan mereka menjaga keselamatan jemaah dan penganut di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Katanya,  ini dilakukan dengan melakukan penyesuaian yang sukar namun termasuk dalam melaksanakan amalan agama.

“Bagi masyarakat Melayu/Islam, ini termasuk menutup semua masjid dalam bulan Ramadan dan awal Syawal tahun lalu, kemudian menundakan haji.

“Semua ini tidak pernah berlaku dan menjejas amalan keagamaan anda. Namun ia perlu dilakukan dan saya sangat-sangat menghargai pengorbanan anda. Tahun ini, keadaan sudah menjadi lebih baik. Tahun depan mungkin lebih baik lagi.

“Ramadan ini, kita membuka semula masjid-masjid secara berhati-hati, membenarkan tarawih dan qiyamullail dengan langkah jarak selamat, agar masyarakat Islam yang ingin mendirikan ibadah dan berbuka puasa di masjid-masjid boleh melakukan demikian,” tambah PM Lee lagi.

Dalam catatan Facebooknya, beliau berharap tahun depan dapat berbuka puasa bersama-sama seperti dahulu.

“Semoga umat Islam di Singapura menikmati Ramadan yang bermakna dan penuh dengan keberkatan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment