Terengganu menangis…

KUALA TERENGGANU 16 April – “Hasil pertemuan hanya untuk “kirim” duit kenduri serta “goodies” telah menjangkiti kawan baik. Kawan ini pulak mengadakan majlis akikah di kampung akhirnya menjangkiti 5 ahli keluarga dan 7 tetamu akikah.

Juga menular kepada kawan walaupun hanya untuk hantar COD barang yang dipesan. Selain aktiviti ‘mengeteh’ yang disebut sebelum ini. Terkini seramai 109 dilaporkan dari Kluster BELAOH”

Begitulah catatan ‘Terengganu Menangis’ oleh Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berhubung kewujudan kluster akibat aktiviti rentas negeri selain aktiviti ‘mengeteh’.

(Cari dan rujuk berita Mengeteh juga punca penularan kes)

Kluster Taman Rakyat yang menjadi kluster baharu Covid-19 di Terengganu berpunca dari aktiviti rentas negeri seorang individu dari Sabah untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dr Nor Azimi berkata 26 kes dikesan positif Covid-19 dari kluster berkenaan,  iaitu 11 orang ahli keluarga dan 15 lagi tetamu yang menghadiri kenduri.

“Jadi apa iktibar kisah-kisah ini? Adanya rentas negeri dan perkumpulan ramai orang tanpa pematuhan SOP. Jika SOP dipatuhi, tak akan ada jangkitan. Kalau ada pun, ia sangat minima dan bukan kluster besar sebegini.

Sebab itu kami selalu pesan tangguh dulu perkumpulan ramai orang. Kita tak tahu siapa yang kita jumpa walaupun ahli keluarga atau rakan sekerja. Kita semua yang patut kuatkuasakan pematuhan SOP, bukannya diserah semata-mata kepada agensi penguatkuasaan,“ katanya dalam satu paparan di laman Facebooknya semalam.

Kluster Taman Rakyat yang didaftarkan pada 15 April adalah kluster komuniti yang melibatkan daerah Dungun. Kes indeks bagi kluster itu ialah seorang lelaki berusia 32 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 6 April hasil saringan sebelum kembali ke Sabah.

Related posts

Leave a Comment