434,301 terima dua dos suntikan

KUALA LUMPUR 16 April – Seramai 434,301 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau memaklumkan bagi tempoh sama, 671,589 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin kini adalah 1,105,890.

Melalui  infografik laman Twitternya, Dr Adham memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 93,829 diikuti Sarawak (67,427), Kuala Lumpur (73,266), Johor (63,295) dan Sabah (55,734).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 54,820 individu, diikuti Perak (46,592), Sabah (41,948), Kuala Lumpur (34,683) dan Pahang (32,688).

Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk program imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah seramai 8,834,823 atau 36.4 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,33,514 pendaftaran.

Mengikut perancangan Program Imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

Related posts

Leave a Comment