Thailand rekod 1,543 kes baharu

BANGKOK 15 April – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di Thailand terus menunjukkan peningkatan apabila merekodkan 1,543 kes berbanding 1,335 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 37,453 kes.

Menurut Jabatan Kawalan Penyakit, ini adalah hari kedua Thailand mencatatkan empat digit di mana daripada jumlah itu 1,540 adalah kes jangkitan tempatan dan tiga kes import.

Kebanyakan kes melibatkan mereka yang mempunyai kaitan keluarga, kontak  dengan kes yang lepas termasuk melalui pusat hiburan, majlis keramaian, seminar, kem pelajar dan juga yang berada di kawasan yang sesak.

Kes harian ini melibatkan 62 wilayah di mana 1,161 kes disahkan di hospital dan 379 dikesan dalam masyarakat.

Bangkok merekodkan 409 kes baharu termasuk 175 yang ada kaitan dengan pusat hiburan, majlis keraian, konsert dan restoran.

Chiang Mai merekodkan 278 kes, Chon Buri dan Prachuap Khiri Khan masing-masing 98 kes dan Samut Prakan 24 kes.

Tiga kes import pula adalah dari India, Netherlands dan Sweden.

Daripada 37,453 kes, sebanyak 28,383 (75.8%) dilaporkan sembuh termasuk 61 yang pulih hari ini manakala 8,973 pesakit masih mendapatkan rawatan di hospital termasuk 11 yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan peringatan menjelang sambutan tahun baharu Songkran, supaya orang ramai tidak melakukan perjalanan yang tidak penting selain mengurangkan perhimpunan ramai.

Semua itu adalah langkah untuk mencegah kemungkinan penularan, termasuk varian B117 yang kali pertama dikesan di Britain.

“Tempoh selepas Songkran adalah waktu yang kritikal untuk mengawal jangkitan, jika tidak kita boleh menyaksikan antara 10,000 hingga 20,000 kes sehari,” ujar pegawai kesihatan kanan, Opas Karnkawinpong, yang turut menggalakkan rakyat agar terus bekerja dari rumah selama dua minggu selepas cuti umum tersebut.

Bermula hari ini, pusat beli-belah akan ditutup lebih awal daripada pukul 9 malam untuk mencegah kemungkinan penularan, kata kumpulan industri runcit.

Related posts

Leave a Comment