Vaksin: Permintaan atasi bekalan

PUTRAJAYA 14 April – Bekalan vaksin dijangka lebih stabil dan mencukupi mulai bulan Jun tahun ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Katanya ketika itu beliau menjangkakan vaksinasi secara besar-besaran akan berjalan lancar.

“Buat masa ini permintaan mengatasi bekalan. Berdasarkan graf, kita akan mempunyai cukup bekalan untuk mencapai sasaran 80 peratus penduduk sebelum akhir tahun ini.

“Ini mengikut portfolio dan rancangan semasa yang kami umumkan pada bulan Februari,” katanya dalam satu kenyataan..

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata demikian susulan kebimbangan orang ramai berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilihat perlahan.

Kata Khairy, ada individu yang mendaftar pada bulan Februari namun bertanya bila mereka akan mendapat temujanji untuk suntikan vaksin.

“Seperti yang diumumkan sebelumnya, program vaksinasi akan berjalan hingga akhir tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kami kini mengakhiri fasa satu yang melibatkan barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan. Minggu depan kita memulakan fasa dua yang melibatkan individu berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik,” ujarnya.

Jelas, Ahli Parlimen Rembau itu, bekalan vaksin dalam negara masih rendah disebabkan negara-negara kaya telah memonopoli pasaran vaksin.

Sementara itu, setakat ini 8.68 juta telah mendaftar untuk program vaksinasi.

Related posts

Leave a Comment