Nasihat Seri Paduka kepada orang politik

KUALA LUMPUR 12 April – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap agar kehadiran Ramadan yang mulia menjadi titik mula ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradab dan berintegriti.

Ahli-ahli politik negara juga dinasihatkan untuk merapatkan saf berganding bahu memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadzil Shamsuddin, baginda menasihatkan ahli-ahli politik memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 tanpa mengira fahaman politik.

Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.

“Pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak ini, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara,” titah Seri Paduka sempena Ramadan.

Al-Sultan Abdullah menitahkan kepada ahli-ahli politik bahawa mereka perlu menjadi suri teladan kepada rakyat dari sudut penyatuan dan urus tadbir negara dengan baik.

Ahmad Fadzil menambah, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan jaminan kepada rakyat bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan yang mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini.

Seri Paduka turut berpandangan bahawa keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos ini sewajarnya diberikan kepada usaha melawan wabak Covid-19 dan tindakan-tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi negara menerusi inisiatif-inisiatif kerajaan termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Bersempena ketibaan Ramadan, Seri Paduka mengambil kesempatan menyeru seluruh umat Islam agar mengaut keberkatan di bulan yang mulia itu untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan amalan soleh.

“Umat Islam di Malaysia turut diseru mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan menggandakan ibadah serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan.

“Semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita,” titah Seri Paduka.

Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Pemulihan di negara ini, Seri Paduka bertitah supaya penganjuran majlis-majlis di seluruh negara sepanjang Ramadan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perintah-perintah yang ditetapkan kerajaan.

Seri Paduka turut menasihatkan umat Islam khususnya petugas barisan hadapan supaya terus tabah menjalani ibadah puasa dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu dalam usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.

Umat Islam juga dinasihatkan supaya terus cekal mengharungi ujian ini dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi SOP.

Related posts

Leave a Comment