Ahmad Fuzi YDP Negeri Pulau Pinang

TANJONG 12 April – Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8 menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang telah berkhidmat selama tujuh penggal sejak 2001.

Beliau akan menerima surat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 30 April ini manakala upacara angkat sumpah akan berlangsung pada 1 Mei ini di Dewan Sri Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau menerima surat pemakluman pelantikan tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong pada 8 April lalu.

“Kerajaan negeri akan mengelola majlis berkenaan bagi memastikan upacara angkat sumpah itu berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” kata beliau dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada Abdul Rahman di atas dedikasinya sepanjang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri selama tujuh penggal.

“Kami telah mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau untuk menzahirkan rasa penghargaan kami

“Kami bersyukur dengan bimbingan beliau selama ini dengan meletakkan kemakmuran Pulau Pinang sebagai keutamaan,” kata beliau lagi.

Dalam masa sama, Kon Yeow mengalu-alukan kehadiran Yang di-Pertua Negeri yang baharu.

Ahmad Fuzi yang juga anak jati Pulau Pinang dilahirkan pada 8 Januari 1949 dan pernah menjawat jawatan sebagai bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar.

Related posts

Leave a Comment